Korban - Hukum, Niat & Persoalan Berkaitan
Apa itu korban?
Asal–usul ibadah korban berasal dari peristiwa sejarah penyembelihan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim . Peristiwa ini akan selalu disebut-sebut pada setiap Idul Adha tiba. Hal ini untuk mengenang pengurbanan Nabi Ismail oleh Nabi Ibrahim dalam rangka menunaikan perintah Allah SWT.
Ibadah korban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu jenisnya yang dikategorikan sebagai ternakan (al-an’am) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
Ia dilakukan pada bulan Zulhijjah iaitu pada Hari Raya Aidil Adha ataupun dikenali juga sebagai Hari Raya Korban yang jatuh pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyriq selepasnya (11, 12 ,13 Zulhijjah).
Tarikh-tarikh ini diambil berdasarkan hadis berikut,
Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا دَخَلَتِ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya: Apabila telah masuknya sepuluh (hari terawal Zulhijjah), dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah korban maka janganlah dia memotong rambutnya serta kukunya.
Riwayat Muslim (1977)
Dalil Pensyariatan Korban
Terdapat beberapa ayat Al Quran dan juga hadis mengenai ibadah ini, antaranya ialah:
1. Surah Al Kauthar, ayat 2;
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
2. Surat Al-Hajj, ayat 34-35;
وَلِكُلِّ أُمَّةٍۢ جَعَلْنَا مَنسَكًۭا لِّيَذْكُرُوا۟ ٱسْمَ ٱللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّنۢ بَهِيمَةِ ٱلْأَنْعَـٰمِ ۗ فَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌۭ وَٰحِدٌۭ فَلَهُۥٓ أَسْلِمُوا۟ ۗ وَبَشِّرِ ٱلْمُخْبِتِينَ
Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat –
3. Surah Ash-Shafaat, ayat 102;
فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ ٱلسَّعْىَ قَالَ يَـٰبُنَىَّ إِنِّىٓ أَرَىٰ فِى ٱلْمَنَامِ أَنِّىٓ أَذْبَحُكَ فَٱنظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَـٰٓأَبَتِ ٱفْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Maksudnya: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.
4. Hadits riwayat Imam Ahmad
Sabda Rasulullah SAW yang lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad juga dari Jubair ibn Muth’im, Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ ذَبْحٌ.
Maksudnya: “Tiap-tiap (semua) hari Tasyrik itu adalah hari menyembelih.”
5. Hadits riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah
Rasulullah SAW bersabda,
قُلْتُ أَوْ قَالُوا يَا رَسُولَ اللهِ مَا هَذِهِ اْلأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةٌ.
Maksudnya: “Aku atau mereka bertanya: Hai Rasulullah, apakah korban itu? Nabi SAW menjawab: Itulah suatu sunnah ayahmu Ibrahim. Mereka bertanya (lagi): Apakah yang kita peroleh dari korban itu? Rasulullah SAW menjawab: Di tiap-tiap bulu kita mendapat suatu kebajikan.”
Niat Korban
Berdasarkan penerangan di laman web Mufti Wilayah Persekutuan, niat korban boleh dibahagikan kepada dua cara:
1. Pemilik atau peserta korban berniat sendiri.
Peserta boleh berniat dalam beberapa keadaan:
- Ketika mengasingkan haiwan dari haiwan miliknya di kandang atau ketika akad jual beli. Maka dia berniat “Haiwan yang aku asingkan ini ialah untuk korban.” Atau “Haiwan aku beli ini ialah untuk korban.”
- Ketika dia menyembelih haiwan korbannya (sembelih sendiri).
- Ketika haiwan korban sedang disembelih (disembelih oleh wakil).
- Ketika bernazar dengan menentukan secara khusus haiwan miliknya yang akan dikorbankan.
2. Niat oleh wakil.
Ia boleh berlaku dalam dua keadaan:
- Peserta mewakilkan tukang sembelih berniat bagi pihaknya ketika sembelih.
- Peserta mewakilkan seseorang untuk berniat bagi pihaknya ketika wakilnya itu menyerahkan haiwan kepada tukang sembelih.
NOTA: Seseorang yang menjadi wakil sembelihan, tidak wajib menyebut nama pemilik korban.
Lafaz Niat Korban
Tiada bacaan khusus untuk niat korban.
Anda boleh lafazkan niat seperti berikut:
“Sahaja aku melakukan korban kerana Allah SWT”
Disyaratkan niat melafazkan niat ketika menyembelih tetapi jika ia mewakili kepada orang lain, maka ia (individu yang berhajat) perlu berniat kepada orang yang diwakili itu ketika penyerahan binatang.
Hukum Melakukan Korban
Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi orang yang mampu.
Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukannya. Walau bagaimanapun, jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah ia menjadi satu dosa.
FAQ
Masih terdapat persoalan yang belum terjawab?